Umum

Cuba larikan diri selepas menikam pengawal keselamatan, pekerja ladang digilis treler

Gambar Hiasan

Kaki seorang pekerja ladang warga Indonesia digilis treler ketika cuba melarikan diri selepas menikam pinggul seorang pengawal keselamatan dalam kejadian di Ladang Mawar, Bandar Seri Bandi, Kemaman pada hari Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, insiden itu berlaku kira-kira jam 3.45 pagi dipercayai kerana suspek berusia 23 tahun itu enggan mengikut arahan mangsa supaya pulang ke rumah kongsinya.

Setelah melarikan diri suspek cuba untuk menahan beberapa kenderaan, namun gagal sehingga terserempak dengan sebuah treler yang keluar dari Plaza Tol Seri Bandi menuju ke arah Air Jernih.

“Suspek menahan treler itu namun ia tidak berhenti. Suspek kemudian cuba untuk memanjatnya dan terjatuh menyebabkan bahagian kakinya digilis oleh treler berkenaan,” katanya dilaporkan media pada hari Ahad.

Hanyan memberitahu, sebelum kejadian suspek dilihat meracau dan bercakap seorang diri sambil membawa sebilah parang di sekitar kawasan perumahan dan pejabat ladang.

“Mangsa yang ketika itu melakukan rondaan di Ladang Mawar telah mengarahkan suspek untuk pulang semula ke rumah kongsinya di dalam kawasan ladang, namun suspek enggan.

“Seorang lagi rakan mangsa bertindak mengambil parang yang digunakan dan menyerahkannya kepada mangsa,” katanya.

Suspek terbaring setelah kakinya digilis treler ketika cuba melarikan diri selepas menikam seorang pengawal keselamatan dalam kejadian awal pagi Sabtu.

Beliau berkata, ketika mangsa dan rakan setugas menghantar suspek ke rumah kongsinya, suspek bertindak melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit dan telah dikejar pengawal keselamatan terbabit.

Mangsa dipercayai ditusuk pinggul kiri menggunakan sebilah pisau ketika cuba untuk menangkap suspek ketika suspek berhenti di tepi jalan.

“Setelah ditikam mangsa berundur dan berbaring di atas jalan sementara suspek melarikan diri ke arah pos pengadu pintu masuk Ladang Mawar dan dikejar oleh rakan setugas mangsa sehingga ke lampu isyarat susur masuk Plaza Tol Seri Bandi,” ujar beliau.

Mangsa yang berusia 23 tahun mengalami kecederaan sedalam empat sentimeter (cm) akibat tusukan pada pinggul sebelah kiri dan telah mendapatkan rawatan di Zon Kuning Bahagian Kecemasan Hospital Kemaman, sementara suspek dirawat di Zon Merah, hospital yang sama.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek patah tulang paha kaki kiri serta tulang betis kaki kiri akibat kemalangan itu dan akan menjalani pembedahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan senjata dan ugutan jenayah.

 

 

PALING POPULAR

To Top