Umum

Kedai makan hidang daging eksotik diserbu, 6 individu ditahan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan 6 individu dalam serbuan ke atas sebuah kedai makan di Sabak Bernam, Selangor yang dikesan menawarkan hidangan daging eksotik baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim, pemeriksaan di premis itu mendapati pelbagai daging hidupan liar, termasuk 4 ekor pelanduk, sejumlah daging landak dan burung ruak-ruak.

“Semua daging hidupan liar dilindungi itu ditemui dalam peti sejuk. Suspek gagal mengemukakan lesen atau permit yang membolehkannya menyimpan daging hidupan liar itu,” katanya dilaporkan Harian Metro.

Tambah beliau, kegagalan menunjukkan bukti daging hidupan liar itu diperolehi memungkinkan ia diburu secara haram atau diperolehi daripada pemburu haram.

Susulan itu, semua daging hidupan liar itu termasuk 2 peti sejuk dianggarkan bernilai lebih RM2,000 disita.

Menurutnya, enam individu berusia 40-an hingga 70-an yang ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Difahamkan, perniagaan premis itu mendapat sambutan dan tular di pelbagai platform media sosial, dengan pelanggannya dikatakan termasuk VIP yang sanggup membayar harga tinggi untuk hidangan daging hidupan liar.

 

PALING POPULAR

To Top