Umum

Cubaan seludup dadah bernilai RM1.22 juta di KLIA gagal

Gambar Hiasan

Kastam telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah dengan berat 6.13kg (bernilai RM1.22 juta) yang disembunyikan dalam bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 9 Januari lepas.

Menurut Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian, dadah tersebut ditemui dalam 7 kotak barangan kosmetik yang mengandungi bongkahan pepejal seperti sabun pelbagai warna dalam bagasi kabin milik seorang penumpang warga Perancis, yang menaiki penerbangan dari Sao Paolo, Brazil.

Ujian awal ke atas bongkahan tersebut disyaki adalah dadah jenis kokain.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyembunyikan dadah berbentuk sabun dengan pelbagai warna di dalam kotak barangan kosmetik untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan dibawa secara ‘hand carry’ oleh penumpang yang telah berusia dan mengembara secara bersendirian ke dalam negara,” katanya dalam kenyataan.

Individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dilaporkan media, Wong berkata berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, rampasan itu berjaya membanteras pengedaran dadah terbabit kepada seramai 30,685 penagih.

 

 

PALING POPULAR

To Top