Umum

Culik & minta tebusan RM2 juta, 2 lelaki dihukum penjara 30 tahun

Gambar Hiasan

Mahkamah Rayuan telah menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap dua bekas ejen hartanah dengan penjara 30 tahun kerana menculik seorang ahli perniagaan wanita untuk mendapatkan tebusan RM2 juta pada 2015.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim-hakim Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan S M Komathy Suppiah bagaimanapun menolak rayuan Lew Ngee Chin dan Chin Yoon Tack@Chin Yoon Tock berhubung sabitan terhadap mereka.

Menurut laporan Bernama, Lew dikecualikan daripada hukuman sebat kerana dia berusia 50 tahun pada 2023 manakala Chin, 47, dikenakan dua kali sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan Telaha Sanchis, 42, seorang penganggur, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Vazeer berkata terdapat bukti kukuh membabitkan kes terhadap Lew dan Chin.

Beliau berkata mangsa telah secara positif mengenal pasti kedua-dua tertuduh di dalam kereta yang digunakan untuk menculiknya dan di sebuah rumah kedai di mana dia dikurung.

Ketiga-tiga tertuduh telah dihukum penjara sepanjang hayat oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Mac 2020 selepas didapati bersalah menculik dan mengurung mangsa berusia 63 itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Wei Ben Wellness & Health Care Sdn Bhd di Taman Sea Kelana Jaya, Selangor pada kira-kira 6 petang 10 Nov 2015.

Menurut fakta kes, mangsa diculik dan dikurung tujuh hari di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Anggerik, Cheras, Kuala Lumpur sebelum dibebaskan berhampiran Stesen LRT Sentul pada 16 Nov 2015 selepas wang tebusan diletakkan di satu lokasi di sepanjang Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan.

Polis kemudian menahan ketiga-tiga lelaki dan mendapatkan semula RM700,000.

PALING POPULAR

To Top