Umum

Tarif air Terengganu naik 8 hingga 18 sen bermula 1 Februari

Gambar SATU

Pelarasan tarif air baharu bagi kategori pengguna domestik dan bukan domestik di Terengganu akan berkuat kuasa pada 1 Februari depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Abdul Karim Endut, tarif baharu itu adalah termasuk caj elektrik sebanyak lapan sen yang sebelum ini diserap ke dalam kos operasi SATU.

Beliau berkata pengguna domestik bagi bacaan meter 0 hingga 20 meter padu akan mengalami kenaikan daripada 42 sen kepada 58 sen; manakala bagi bacaan melebihi 20 meter padu hingga 35 meter padu, kadar baharu ialah 83 sen berbanding 65 sen sebelum ini.

“Bagi penggunaan melebihi 35 meter padu pula, kadar baharu ialah RM1.08 bagi setiap meter padu berbanding RM1 sebelum ini.

“Kadar caj minimum bagi pengguna domestik pula beralih daripada RM4 kepada RM5.80 mulai 1 Feb depan,” katanya pada sidang media mengenai pelarasan tarif air bagi Terengganu di pejabat SATU.

Karim berkata bagi kategori domestik pukal, caj minimum akan berubah kepada RM10.80 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak lapan sen kepada RM1.08 sen bagi penggunaan setiap meter padu; manakala bagi perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik, menyaksikan peralihan kadar baharu kepada RM1.08 bagi penggunaan hingga 35 meter padu.

“Selain itu, Terengganu ialah satu-satunya negeri yang tidak mengenakan caj air kepada masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam,” katanya.

Beliau berkata pelarasan tarif air dan caj elektrik baharu itu dijangka dapat memberi pendapatan tambahan kepada SATU sebanyak RM9.6 juta setahun.

“Hasil daripada pendapatan itu, SATU merancang melaksanakan projek pembangunan prasarana bekalan air seperti menaik taraf loji rawatan sedia ada yang melibatkan kos RM11 juta, penggantian paip kritikal bernilai RM10 juta dan program air tidak terhasil (NRW) sebanyak RM16.6 juta,” katanya.

Karim berkata buat masa ini, SATU menyediakan perkhidmatan bekalan air terawat kepada lebih 1.2 juta penduduk meliputi 342,364 akaun termasuk pengguna domestik dan bukan domestik yang merangkumi perusahan kecil serta sederhana sehingga kepada pengguna industri.

PALING POPULAR

To Top