Umum

Daerah Petaling, Klang, Hulu Langat kawasan paling tinggi fakir & miskin di Selangor

Gambar LZS

Daerah Petaling di negeri Selangor mencatatkan seramai 12,095 asnaf fakir dan miskin, menjadikanny jumlah tertinggi di negeri itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini, seramai 4,196 fakir dan seramai 7,899 miskin direkodkan LZS di daerah itu pada tahun lalu.

Yang kedua tertinggi adalah Daerah Klang iaitu seramai 11,477 dan diikuti Daerah Hulu Langat (9,671).

“Jumlah keseluruhan fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS pula seramai 65,704 penerima.

Beliau menyatakan demikian ketika semasa Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) di Dewan Orkid PKPS pada hari Selasa.

Mohd Sabirin berkata, LZS sentiasa berusaha mencari kaedah bagi menangani kemiskinan terutama di kawasan bandar.

“Kita mencari pelbagai pendekatan dan formula bersesuaian atau setidak-tidaknya kemiskinan bandar bagi generasi kedua ini dapat kita noktah melalui pendidikan atau pun melalui platform lain yang bersesuaian,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menerangkan bahawa LZS sedang giat mengesan seramai 1.5 juta penduduk Islam yang layak menunaikan zakat, namun masih gagal berbuat demikian.

Jelas beliau, pelbagai platform disediakan LZS termasuklah usaha-usaha berdakwah dan memberi kesedaran kepada mereka yang tidak menerima maklumat atau belum bersedia menunaikan tanggungjawab menunaikan zakat.

“Kami kena melihat daripada pelbagai aspek dan pendekatan seperti demografi umur antaranya dengan menggunakan kaedah di sosial media untuk golongan muda, manakala medium elektronik, akhbar dan bahan bercetak kepada mereka yang lebih berusia.

“Selain itu, kami juga telah memperkenalkan silibus zakat yang wajib diajar di sekolah-sekolah agama di negeri Selangor,” ujarnya.

Mengulas mengenai GRASIAZ, Mohd Sabirin berkata, program itu diadakan bagi meraikan rakan strategik LZS dalam kalangan ejen dan majikan yang melibatkan urusan perkhidmatan kutipan dan agihan zakat.

Tambah beliau, rakan strategik itu terdiri daripada ejen syarikat, firma audit dan cukai, bank, pos, penolong amil institusi pengajian tinggi yang dilantik bagi mengutip zakat serta majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di LZS.

 

 

PALING POPULAR

To Top