Umum

140 buah rumah setinggan di Lahad Datu diberikan notis pengosongan

Gambar Hiasan

Sebanyak kira-kira 140 buah rumah setinggan yang dibina di tanah milik Majlis Daerah Lahad Datu dan Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) di pinggir pekan dan Batu 7 Silam diberikan notis untuk pengosongan kawasan.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul berkata, itu adalah operasi yang pertama kali dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah tersebut.

“Mereka didapati membina rumah di kawasan milik PBT dan hasil bancian penduduk yang mendiami kawasan ini segelintirnya adalah warga tempatan dan bukan warganegara.

“Kesemua mereka diberikan masa selama 14 hari dari tarikh notis untuk meroboh dan mengosongkan kawasan tersebut,” katanya dilaporkan Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, tindakan itu dilakukan bagi mengekang kewujudan rumah setinggan di daerah itu seterusnya bagi mengelak daripada kawasan tersebut berpotensi menjadi tempat pelbagai aktiviti jenayah.

Sebelum itu, seramai 150 penguat kuasa menyertai operasi penyerahan notis terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Daerah Lahad Datu, Pejabat Daerah Lahad Datu, POIC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain yang berkaitan.

 

 

PALING POPULAR

To Top