Umum

Penyasaran subsidi, pastikan 80% rakyat terima faedah

Gambar Facebook

Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bertujuan memastikan faedahnya benar-benar dinikmati 80% hingga 85% rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan langkah itu juga bertujuan mengelakkan manfaat subsidi dinikmati golongan kaya selain kira-kira 3.5 juta warga asing.

“Kita bagi subsidi minyak siapa yang peroleh untung sekarang? Ya rakyat Malaysia…3.5 juta atau hampir empat juta orang asing pun dapat subsidi minyak, kerana kita bagi subsidi kepada semua.

“Orang paling kaya di dalam negara kita pun dapat subsidi minyak, jadi kita kena cari jalan bagaimana kita boleh gunakan apa yang disebut penyasaran subsidi supaya faedah subsidi itu dipulangkan langsung kepada 80% ke 85% rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Perlis di Felda Chuping.

Tambah beliau, langkah sama turut dilaksanakan kerajaan membabitkan tarif elektrik iaitu peningkatan tarif hanya memberi kesan kepada 15% rakyat berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata kenaikan tarif elektrik juga hanya kepada syarikat-syarikat dan kilang, sedangkan rakyat kebanyakan tidak berhadapan dengan kenaikan tarif terbabit.

Jelas beliau, bagi minyak diesel pula, penyasaran subsidi bertujuan memastikan ketirisan dan penyeludupan yang berlaku sejak sekian lama dan menyebabkan kerugian puluhan bilion setiap tahun dapat dihentikan.

“Sebab itu saya kata, penyasaran subsidi maknanya naik harga bagi 15% rakyat berpendapatan tertinggi dan orang asing, tetapi tidak membebankan.

“Kalau kita lakukan apa-apa perubahan berkaitan diesel mesti tentukan perkhidmatan awam, lori-lori Felda, nelayan, bas sekolah, jabatan kerajaan itu tidak dikenakan kenaikan diesel,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan bersedia mendengar pandangan dan teguran berkaitan penyasaran subsidi dan menekankan kepentingan untuk kerajaan menambah hasil pendapatan negara.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek.

 

 

PALING POPULAR

To Top