Umum

DAP gugat keselamatan negera

Nga Kor Ming, Naib Pengerusi DAP, kata Malaysia akan jadi Negara Taliban jika Perikatan Nasional memerintah. Kononnya, Malaysia akan jadi negara pengganas.

DAP bukanlah parti yang ada kredibiliti untuk bercakap mengenai anti-keganasan.

Saya ada cerita mengenai DAP dan anti-keganasan ketika saya menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Ada beberapa orang anggota DAP termasuk wakil rakyatnya yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE). LTTE dinamakan sebagai kumpulan pengganas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

DAP menggesa saya sebagai Menteri Dalam Negeri supaya mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas. Alasannya kerana LTTE tidak lagi wujud setelah pemimpinnya dibunuh di Sri Lanka. Dengan itu, anggota parti itu yang ditahan bolehlah dibebaskan.

Saya bersimpati dengan nasib mana-mana kumpulan minoriti yang ditindas termasuk etnik Tamil di Sri Lanka. Sama jugalah saya bersimpati dengan kumpulan minoriti Islam yang ditindas di Timur Tengah, Eropah dan negara-negara lain.

Tetapi sebagai Menteri Dalam Negeri, tanggungjawab utama saya adalah untuk memelihara keselamatan negara. Saya tidak boleh membiarkan sentimen peribadi saya mengatasi tanggungajwab saya kepada negara.

Saya diberi taklimat oleh pihak polis pada ketika itu bahawa ada bekas anggota LTTE yang melarikan diri ke Malaysia. Mereka ini masih menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Selain itu, Malaysia juga sering dijadikan negara transit oleh kumpulan-kumpulan pengganas yang berpangkalan di luar negara untuk merancang serangan ke atas negara-negara lain. Ini termasuklah kumpulan pengganas dari Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Jadi, undang-undang anti-keganasan dan penguatkuasaannya di negara kita amat ketat untuk mengelakkan Malaysia dijadikan pusat kegananasan global.

Justeru, saya bertegas bahawa keputusan untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Ia perlu diserahkan kepada sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar-pakar dari Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Jawatankuasa inilah yang boleh memberi perakuan kepada saya selaku Menteri Dalam Negeri samada sesebuah organisasi itu boleh dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas atau tidak. Apabila jawatankuasa ini membuat perakuan setelah meneliti pelbagai aspek keselamatan negara secara terperinci, maka bolehlah saya buat keputusan. Tanpa perakuan jawatankuasa ini, saya tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

DAP tidak berpuas hati dengan ketegasan saya. Mereka mahu campur tangan dalam urusan keselamatan negara tanpa mengira implikasinya terhadap rakyat dan negara. Mereka tidak peduli semua itu asalkan kepentingan politik sempit mereka tercapai.

Saya tidak tunduk kepada desakan mereka. Tetapi akhirnya saya terkejut apabila Peguam Negara Tommy Thomas yang menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang  didakwa terlibat dalam kegiatan LTTE, termasuk beberapa anggota DAP.

They have compromised national security for their narrow political interests. This is an utterly irresponsible act.

Selain itu, semasa 22 bulan pemerintahan PH lah Malaysia paling tidak aman dalam isu berkaitan perkauman dan agama kerana DAP tidak sensitif kepada perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Sebaliknya, semasa PN memerintah semasa 17 bulan, negara kita aman. Tidak ada isu perkauman atau agama yang timbul.

Jadi, jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain dalam BERSATU keluar PH.

Bagi saya, DAP atau PH tidak ada kredibiliti untuk bercakap mengenai keamanan dan anti-keganasan.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi

PALING POPULAR

To Top