Umum

Diesel subsidi dirompak rakyat Thailand

Penyeludup Thailand semakin berani apabila mencuri diesel subsidi yang dipam di stesen minyak yang tidak dikawal pihak berkuasa sebelum menjualnya semula pada harga tinggi di negara ber­kenaan.

Penyeludup dikenali sebagai Lah, 40, berkata, dia dan rakan-rakan ‘sejawatnya’ akan masuk sebagai pelancong dengan memandu trak pikap membawa tangki yang telah diubah suai melalui jalan sah pada pukul 7.30 pagi setiap hari.

Katanya, mereka kemudian akan mengisi diesel di empat buah stesen di sempadan.

“Kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi 20 liter diesel di kawasan sempadan tetapi kami akan mencuri sehingga 90 liter bernilai RM196 ke dalam tangki yang telah diubah suai.

“Jika ada polis atau pihak berkuasa lain yang buat pemantauan di stesen minyak, kami isi 20 liter sahaja bernilai RM43,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Lah, modus operandi ialah menunggu giliran dan tidak menyerbu stesen minyak tersebut bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Tambahnya, sebelum ini dia boleh berulang-alik Thailand-Rantau Panjang sebanyak 10 kali sehari tetapi kini hanya dua trip sahaja selepas imigresen me­ngetatkan kemasukan trak pikap ke Malaysia sejak bulan lalu.

“Jika tukar trak pikap pun ada risiko kena tangkap. Jadi kami terpaksa mengurangkan trip buat sementara waktu,” katanya.

Hamdan, 37, pula menceritakan, harga bahan bakar yang murah di Malaysia mendorong mereka melakukan penyeludupan.

“Thailand menjual diesel RM4.80 seliter tetapi di Malaysia separuh daripada itu. Kami lebih berminat beli diesel Malaysia kerana jauh lebih murah,” katanya.

Menurut Hamdan, diesel itu akan dijual secara borong di dalam tong atau botol di tepi jalan Thailand pada harga RM3.25 seliter.

Tambahnya, dia akan mengisi 90 liter diesel menggunakan trak pikap jenis Mitsubishi Pajero dan dijamin habis cepat kerana ia menjadi rebutan buat pengguna di Thailand.

Penyeludup dikenali sebagai Daud, 40, pula berkata, dia memperoleh upah RM6,000 sebulan dengan melakukan 10 trip sehari ke Malaysia.

“Saya hanya buat tiga kali se­minggu dan dapat beli 1,000 liter diesel pada harga RM2,180. Upah dibayar oleh tauke mengikut trip yang dilakukan. Lebih banyak trip, lebih besar upah,” katanya.

Bagaimanapun Daud me­ngakui kerja itu berisiko dan boleh ditangkap pada bila-bila masa.

“Banyak taktik yang digunakan dan salah satunya ialah me­ngubah suai tangki trak pikap dan menggunakan kenderaan berbeza bagi mengelakkan dicekup,” katanya.

Menurut Daud, upah kalangan penyeludup ketika ini menurun kepada RM1,500 sebulan sejak bulan lalu dengan hanya membuat dua ‘trip’ apabila pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top