Umum

Siti Bainun bebas atau bersalah, diketahui esok

Nasib pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali sama ada dibebaskan atau disabit kesalahan atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan diketahui di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Keputusan di akhir kes pembelaan itu akan diputuskan oleh Hakim Izralizam Sanusi pada jam 10 pagi

Dalam prosiding lalu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas dan Shakira Aliana Alias.

Suatu yang menarik perhatian apabila netizen mengkritik Siti Bainun kerana diwakili 10 peguam termasuk pembantu dari lima firma guaman, ketika di peringkat pendakwaan.

Malah kehidupan peribadi mereka menjadi bualan pelbagai pihak di media sosial.

Ia dihangatkan lagi oleh kenyataan daripada pertubuhan bukan kerajaan yang membela Bella.

Sebahagian peguam yang mewakili Siti Bainun ialah Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Nur Ellena Mohamed Razif dan Asiah Abd Jalil.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan empat peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertindak sebagai peguam pemerhati dalam kes itu.

Keputusan dibuat selepas barisan peguam itu yang diwakili Datuk Khairul Anwar Rahmat memaklumkan bahawa mereka telah dilantik menjadi peguam pemerhati bagi pihak remaja terbabit.

Selain Khairul Anwar, tiga lagi peguam pemerhati yang dilantik ialah Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.

Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac 2022 dan pihak pendakwaan menutup kes tersebut selepas memanggil 22 saksi.

Saksi-saksi pendakwaan yang hadir ialah Bella sendiri selaku saksi pendakwaan (SP) ke-18; SP-5, bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; SP-17, pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; SP-1, pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan SP-15, pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun menangis selepas mahkamah memerintahkannya untuk membela diri atas dua pertuduhan berkenaan.

Bagaikan ‘jatuh ditimpa tangga’, dua bulan selepas itu, dia sekali lagi menangis kerana kesemua peguam menarik diri sebelum prosiding kes bela diri bermula.

Peguam, Mohammad Farhan telah menarik diri pada 13 Januari, diikuti Nur Ellena dan Asiah. Peguam, Nur’Aminahtul Mardiah pula membuat permohonan penarikan diri ketika prosiding terbuka di mahkamah sementara Nurul Hafidzah mengambil tindakan sama dengan membuat permohonan secara bertulis.

Pada 26 Januari lalu, tertuduh memohon prosiding bela dirinya ditangguhkan sehingga keputusan khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diperoleh dan dia memerlukan masa sebulan bagi membuat persiapan akhir.

Bagaimanapun, Izralizam berkata, prosiding bela diri diteruskan biarpun pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.

Izralizam mengarahkan tertuduh yang berusia 31 tahun membaca pernyataan saksinya setebal hampir 200 muka surat agar tidak mengganggu perjalanan kes.

Pada prosiding seterusnya, mahkamah tidak membenarkan Siti Bainun membaca sebahagian besar pernyataan saksinya. Ia berkaitan tangkap layar hantaran di media sosial Facebook Zurianty dan beberapa rakaman video Bella, termasuk pada sambutan hari raya.

Ia susulan, Zilfinaz memohon supaya beberapa perenggan itu dipadamkan kerana bersifat prejudis.

Tidak lama kemudian, Siti Bainun melantik semula seorang daripada lima peguam iaitu Mohammad Farhan, yang sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, untuk mengendalikan kes itu.

Mohammad Farhan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya membaca semua pernyataan bertulis yang dipohon pihak pendakwaan untuk dipadamkan, dengan alasan pernyataan saksi itu tidak bersifat prejudis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Siti Bainun membaca dua perenggan dalam pernyataan saksinya itu.

Selepas memanggil lapan saksi, pihak pembelaan Siti Bainun menutup kesnya pada 9 Mac lalu.

Antara saksi yang hadir membela Siti Bainun ialah saksi pembelaan (SD) ketiga, rakan pengasas Rumah Bonda; Pegawai Tadbir, Noor Marliana Ramlee dan SD-6, Engku Farah Hanis Abdul Jalil serta SD-8, pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai.

Kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.

Susulan itu, pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November tahun sama, pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top