Umum

Direman disyaki miliki dadah, permohonan ikat jamin 6 warga Malaysia di Narathiwat ditolak

Permohonan ikat jamin bagi 6 warga Malaysia yang direman semalam kerana disyaki memiliki dadah, termasuk seorang penyanyi dikir barat ditolak oleh Mahkamah Narathiwat.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Ketua Polis Bahagian Siasatan Balai Polis Sungai Golok, Hafit Mad-asin.

Menurut laporan media, Hafit berkata mahkamah tidak akan membenarkan suspek-suspek bagi siasatan melibatkan warga asing dan jumlah dadah yang besar diikat jamin kerana dikhuatiri mereka akan melarikan diri.

Hafit turut dilaporkan berkata semua dadah ditemukan di bilik hotel telah dihantar ke makmal Pusat Forensik di Yala untuk ujian DNA bagi mengenal pasti jenis dadah serta pemiliknya, sebelum diserahkan kepada kepada pendakwa raya untuk menentukan tarikh pendakwaan di mahkamah.

Semua suspek akan ditahan di Penjara Narathiwat selama 84 hari atau kira-kira tiga bulan, sementara menunggu tarikh pendakwaan.

Pada Jumaat lalu, enam suspek warga Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun telah ditahan dalam serbuan Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok sekitar 5 pagi, atas kesalahan memiliki dadah.

Hasil siasatan polis mendapati suspek berkenaan disyaki memiliki 6,000 biji pil jenis “pil kuda” dan turut melakukan kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top