Umum

AADK berjaya pulihkan 73 kawasan panas penagihan dadah

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berjaya menurunkan masalah penagihan dadah, di 73 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) penagihan bahan terlarang itu di seluruh negara, setakat Ogos tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata jumlah berkenaan merupakan 47 peratus daripada jumlah keseluruhan KBT seluruh negara, iaitu sebanyak 155 kawasan.

“Sasaran kementerian pada akhir tahun ini sebanyak 78 KBT, akan berada di tahap risiko rendah dan seterusnya akan menjadi Kawasan Bebas Dadah (KBD),” katanya pada majlis penutup Hari AADK Bersama Masyarakat di sini pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon.

Shamsul Anuar berkata beliau yakin, AADK mampu mencapai sasaran berkenaan dengan kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan, komuniti dan badan bukan kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melancarkan kempen 1 juta belia menyertai Skuad Antidadah AADK, bagi mempergiat program belia dan aktiviti gaya hidup sihat di 176 daerah di seluruh negara.

Beliau berkata kempen itu dilancarkan susulan Kajian Prevalen Penagihan Dadah dalam Kalangan Belia di Malaysia, yang dijalankan KDN bersama Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2022 mendapati, bagi setiap 100 belia, enam individu menyatakan pernah mengambil dadah, manakala empat orang mengaku masih aktif mengambil dadah.

“Saya menyeru belia di negara ini untuk menyertai Skuad Antidadah dan bersama-sama secara sukarela, menggerakkan apa jua program dan aktiviti yang boleh menghindari diri dan rakan-rakan sekeliling daripada ancaman penyalahgunaan dan penagihan dadah, di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Sutekno ketika ditemui pemberita menasihati ibu bapa yang mempunyai anak terlibat dalam penyalahgunaan dadah, agar tidak ‘sembunyikan’ anak mereka dan segera mendapatkan rawatan.

Beliau berkata pada tahun lepas, 65 peratus penagih dadah yang menerima rawatan di fasiliti AADK kerana salah guna dadah jenis sintetik merupakan remaja, dan 60 peratus daripada mereka masih tinggal bersama keluarga.

“Saya ingin nasihatkan ibu bapa tidak perlu risau untuk menghubungi AADK bagi mendapatkan rawatan untuk anak mereka. Pegawai kami (AADK) akan datang menilai sejauh mana keseriusan ketagihan mereka dan akan mengesyorkan rawatan bersesuaian untuk dia pulih daripada ketagihan dadah,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top