Umum

Dituduh amang seksual dan merogol remaja, bomoh dihukum penjara 35 tahun 10 sebatan

Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 10 kali sebatan ke atas seorang bomoh selepas tertuduh mengaku salah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol remaja 2 tahun lalu.

Menurut Harian Metro, tertuduh, Zemi Ibrahim, 51, membuat pengakuan itu selepas kes disebut semula di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 14 tahun ketika itu dalam tandas sebuah rumah di Pagoh pada November 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa merogol mangsa sejak April hingga Julai tahun lalu, dengan kejadian berlaku di tempat sama. Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua hingga keempat, masing-masing 10 tahun serta tiga sebatan.

Semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu 16 Oktober 2023.

 

 

PALING POPULAR

To Top