Umum

Sekolah diminta susun semula program lawatan memgikut pindaan garis panduan

Gambar Facebook

Susulan pindaan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah bagi mengukuhkan pembelajaran di luar kelas, sekolah diharap dapat menyusun semula program lawatan masing-masing.

Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, lawatan murid pada masa ini dibenarkan hingga 2 kali setahun bagi setiap murid mengikut keperluan dan kesesuaian, seperti pindaan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan (KPM) Bilangan 9.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) Pulau Pinang di Bukit Bendera.

Katanya berbeza sebelum ini yang membenarkan setiap sekolah hanya mengadakan lawatan 2 kali, kini guru-guru dibenarkan merancang lawatan setiap anak murid sehingga 2 kali.

“Kita mahu anak-anak kita mengikuti pembelajaran di luar kelas supaya perspektif, pengalaman dan kemahiran mereka dapat (diwujudkan) di luar kelas,” katanya

Fadhlina yang juga presiden Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia berkata KPM dalam proses untuk memperkenalkan semula Tapak Warisan Dunia di bawah Unesco dalam kalangan murid sekolah.

Setakat ini, KPM membuat program lawatan ke tapak warisan dunia di Banda Hilir, Melaka diikuti Pulau Pinang hari ini dan seterusnya ke Sabah serta Sarawak.

Beliau yakin program lawatan tapak warisan dunia bukan sahaja meningkatkan minat murid terhadap sejarah, tetapi juga Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) memandangkan biodiversiti antara tajuk yang perlu dikuasai murid.

SPI garis panduan berkenaan yang dipinda pada 16 Jun lepas dan berkuat kuasa serta-merta, memberi penjelasan tentang tatacara pelaksanaan aktiviti lawatan murid.

Garis panduan itu juga menjelaskan lawatan murid sekolah yang dirancang hendaklah diadakan untuk program akademik atau kokurikulum, pertandingan atau perkhemahan, lawatan sambil belajar, atau program dan aktiviti lain yang ditentukan pelulus.

Ia terpakai bagi peringkat pendidikan dari prasekolah hingga peringkat pendidikan lepas menengah termasuk institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM.

PALING POPULAR

To Top