Umum

Dr Sam boleh jadi PM dengan 2 cara kata Isham Jalil

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen PAS di Kemaman dengan kemenangan besar boleh menjadi Perdana Menteri dengan 2 cara.

Ahli MKT UMNO Isham Jalil berkata demikian dalam mengulas lanjut kejayaan PAS mempertahankan kemenangan kerusi Parlimen Kemaman dan berkenaan Dr Sam menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya salah satu cara adalah dengan memenangi PRU 16 pada tahun 2027 dalam tempoh 4 tahun lagi.

Isham berkata, dalam tempoh setahun, Perikatan Nasional atau PAS telah berjaya meningkatkan sokongan Melayu daripada 58% pada setahun yang lepas (pada PRU-15) kepada 70% pada pilihanraya negeri dan pilihanraya kecil ini. Ini adalah suatu peningkatan yang sangat signifikan.

Beliau berpendapat sekiranya keadaan ini berterusan maka besar kemungkinan mereka (PN atau PAS) akan merampas kesemua 26 kerusi-kerusi UMNO dan 3 kerusi BN di Semenanjung yang sedia ada dan meningkatkan jumlah kerusi PAS daripada 43 kerusi kini kepada 72 kerusi pada PRU-16 akan datang, menjadikan PAS parti yang terbesar dalam Parlimen di Malaysia dan membolehkan Dr Sam menjadi Perdana Menteri ke-11 dalam tempoh 4 tahun lagi.

Walaubagaimanapun, beliau menjangkakan sebelum PRU-16 ini, besar kemungkinan ramai lagi pemimpin-pemimpin PAS dan PN akan ditangkap oleh kerajaan dan didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah dan ini akan memberikan pelbagai tekanan politik ke atas mereka.

“Cara kedua ialah dengan cara menukar kerajaan dalam masa terdekat ini iaitu sebelum PRU-16. Namun pada ketika ini PN tidak cukup kerusi untuk bentuk kerajaan dan mereka memerlukan UMNO dan Barisan Nasional, GPS di Sarawak dan GRS di Sabah untuk mencukupkan kerusi,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari Isnin.

Ujarnya, walaupun UMNO hanya mempunyai 26 kerusi, apa-apa permutasi pun memerlukan 26 kerusi UMNO ini untuk menukar dan membentuk kerajaan. Jika PAS tidak berjaya mendapatkan sokongan parti-parti ini, maka ia tidak akan bentuk kerajaan.

“Sebaliknya jika mereka berjaya meyakinkan UMNO untuk bermuafakat semula, maka tidak mustahil Kerajaan Perpaduan ini akan tumbang dan digantikan dengan Kerajaan Muafakat dalam masa terdekat.

“Apa-apa pun ini semua bergantung kepada apa yang PAS akan buat selepas ini. Sebagai ahli UMNO, hasrat saya adalah apa-apa pun yang terjadi selepas ini akan memberi manfaat kepada UMNO dan perjuangan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini,” katanya.

PALING POPULAR

To Top