Umum

Emirates dan Batik Air mengadakan kerjasama “Code Share”

Gambar Emirates

Emirates dan Batik Air Malaysia mengumumkan pemeteraian perjanjian perkongsian kod (code share), yang membolehkan pelanggan Emirates mengakses 5 bandar domestik di Malaysia dan 3 lokasi serantau Asia Tenggara yang dikendalikan Batik Air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dan Presiden Kanan Emirates, Operasi Komersial (Timur Jauh), Orhan Abbas.

Selaras dengan perjanjian itu, Emirates akan meletakkan kodnya pada penerbangan kendalian Batik Air ke Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi, Johor Bahru, Denpasar, Jakarta dan Singapura serta menawarkan pelanggan pengalaman perjalanan yang lancar semasa mereka menyambung ke destinasi baharu menggunakan tiket tunggal dan polisi bagasi mudah.

Syarikat penerbangan itu juga akan mendapat akses ke lapan destinasi tambahan yang dikendalikan oleh Batik Air melalui Kuala Lumpur untuk pemindahan antara talian.

Sehubungan itu, Orhan berkata, Malaysia ialah destinasi penting dalam rangkaian Timur Jauh Emirates dan pihaknya berbesar hati menawarkan peningkatan ketersambungan dan lebih banyak lokasi pilihan untuk pelanggan ke destinasi baru dan menarik.

“Melalui perkongsian ini, kami akan mengembangkan lagi rangkaian mencapai lebih daripada 1,490 bandar di seluruh dunia.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami Batik Air dalam menawarkan pilihan lebih baik dan pengalaman lebih mudah untuk pengembara,” katanya.

Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh ketersambungan rangkaian Batik Air tetapi juga memberi peluang kepada pengembara Emirates untuk meneroka destinasi baru yang menawan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Kami berbangga menjadi sebahagian daripada pakatan strategik ini, mengembangkan lagi jejak kami dan menawarkan fleksibiliti dan kemudahan kepada penumpang yang dihargai.

“Perkongsian ini diharap dapat mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia untuk mengalami gabungan unik perkhidmatan Emirates dan Batik Air,” katanya di majlis menandatangani perjanjian perkongsian kod antara Emirates dan Batik Air di sini, hari ini.

Pelanggan Emirates juga akan mempunyai pilihan untuk singgah di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir mereka.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top