KUALA LUMPUR: Guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah di Selangor yang enggan menerima vaksin COVID-19 mungkin tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

Itu titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita apabila 112 individu daripada golongan itu, selain 268 guru sekolah rendah dan 182 guru sekolah menengah kebangsaan di negeri Selangor enggan menerima vaksin COVID-19.

Baginda bertitah, keengganan golongan tersebut menerima vaksin bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah juga orang lain.

“Bagi golongan ini yang memilih untuk tidak mahu divaksin, Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai.

“Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar.

“Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama,” titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Baginda bertitah, angka golongan berkenaan yang enggan menerima vaksinasi itu diperoleh berdasarkan laporan daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Bagi guru KAFA, seramai 326 orang belum mendapat suntikan vaksin COVID-19, manakala 95 daripada mereka enggan menerima vaksin.

Sementara itu, 59 pegawai masjid juga masih belum diberi suntikan manakala 11 lagi enggan berbuat demikian.

Bagi jurunikah pula, sembilan orang masih belum divaksin dengan enam daripadanya dikenal pasti enggan menerima suntikan.

Titah baginda, pakar-pakar perubatan telah mengesahkan bahawa vaksin adalah satu-satunya cara untuk mengatasi wabak COVID-19 buat masa ini.

“Beta juga suka mengingatkan bahawa negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin COVID-19 adalah diharuskan,” titah baginda lagi.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin bertitah, rakyat Selangor tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Baginda turut menyeru kepada seluruh rakyat di negeri Selangor supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat di sekelilling.

Sumber: Astro Awani