Umum

Episod hujan berterusan mulai 17 Disember ini

Hujan yang sedang berlaku di Pantai Timur ketika ini bukan hujan berterusan tetapi hujan biasa yang tidak berpanjangan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, episod hujan berterusan di Pantai Timur sudah berakhir, semalam.

“Hujan yang sedang berlaku di Pantai Timur ketika ini bukan hujan berterusan tetapi adalah hujan biasa.

“METMalaysia menjangkakan episod hujan berterusan seterusnya akan bermula pada 17 Disember ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga Khamis, 15 Disember ini.

Menurutnya, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer per jam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m) dijangka di kawasan perairan berkenaan yang berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

“Kenaikan paras air laut dijangka di kawasan perairan berkenaan sehingga tarikh sama Khamis dan berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” katanya.

Muhammad Helmi berkata, untuk perkapalan, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga, kedua dan pertama dikeluarkan untuk beberapa perairan juga sehingga 15 Disember ini.

Katanya, amaran kategori ketiga, angin kencang timur laut melebihi 60 km/j dengan ombak setinggi melebihi 4.5m dijangka di kawasan perairan timur Condore dan barat laut Reef North.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

“Amaran kategori kedua, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m dijangka di kawasan perairan barat Condore, timur laut dan barat daya Reef North.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.

Manakala, amaran kategori pertama iaitu angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5m dijangka di kawasan perairan selatan Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara Reef North, utara Reef South, Layang-Layang dan barat Palawan.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top