Final Piala Malaysia: Rapid KL Lanjut Operasi Bukit Jalil Hingga 12.30 Tengah Malam
KUALA LUMPUR – Penyokong yang bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi final Piala Malaysia Sabtu ini mendapat sedikit kelegaan apabila Rapid KL mengumumkan operasi Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam.
Lanjutan operasi khas itu akan berlangsung pada 23 Mei 2026 bagi membantu pergerakan pulang penyokong selepas tamat perlawanan akhir yang dijangka menarik puluhan ribu peminat bola sepak.
Menurut Rapid KL, lanjutan operasi tren hanya melibatkan dua laluan iaitu Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Putrajaya.
Dalam masa sama, Rapid KL memaklumkan hanya Stesen Sungai Besi akan dibuka sebagai stesen integrasi selepas tamat waktu operasi biasa bagi penumpang yang ingin bertukar laluan.
Stesen integrasi lain pula akan ditutup seperti biasa.
Bagaimanapun, penumpang masih boleh keluar di mana-mana stesen di sepanjang kedua-dua laluan tersebut untuk meneruskan perjalanan pulang.
Penyokong Digalak Rancang Perjalanan Awal
Rapid KL turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan kemudahan Park N’ Ride yang tersedia di stesen-stesen sepanjang laluan terlibat.
Bagi melancarkan pergerakan penumpang selepas perlawanan, pengguna juga disaran menggunakan kad Touch ‘n Go atau pembayaran tanpa tunai.
Rapid KL turut mengingatkan pengguna supaya memastikan baki kad mencukupi bagi mengelakkan kesesakan di kaunter selepas tamat perlawanan.
Bagi pengguna token pula, pembelian awal untuk perjalanan pergi dan balik amat digalakkan.
Rapid KL berkata kakitangan tambahan juga akan ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu penumpang sepanjang tempoh lanjutan operasi tersebut.
Setiap kali acara besar berlangsung di Bukit Jalil, kawasan sekitar stadium dan stesen pengangkutan awam biasanya dipenuhi ribuan penyokong sejurus tamat acara.
Jadi untuk final kali ini… naik train atau sangkut dalam jem Bukit Jalil?
