Entertainment

Finas pastikan artis, kru patuh SOP penggambaran

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 melibatkan industri perfileman yang menjalankan penggambaran.

Sehubungan itu, Finas mengingatkan kepada semua Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) yang dilantik syarikat produksi masing-masing untuk memastikan artis dan kru mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Penguat kuasa Finas telah mengambil langkah proaktif bagi memantau aktiviti penggambaran filem di bawah Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) di lokasi penggambaran bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penggambaran digariskan Majlis Keselamatan Negara.

“Finas telah menyalurkan maklumat dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya,” kata badan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia susulan terdapat isu tular di portal dan media sosial berhubung kes jangkitan COVID-19 melibatkan syarikat produksi di sebuah lokasi penggambaran.

Menurutnya, Unit Penguatkuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut.

“Siasatan penuh akan dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil selaras dengan sistem perundangan negara,” tambahnya.

Mengakui pihaknya memandang serius perkara itu, Finas berkata, ia sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyelesaikan isu yang berbangkit demi memastikan nama baik industri kreatif terpelihara.

 

 

PALING POPULAR

To Top