Umum

Gadis meninggal bukan sebab vaksin – JKN Kedah

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan terdapat seorang pelajar perempuan di daerah Baling yang meninggal dunia akibat suntikan vaksin COVID-19.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo, berkata JKN Kedah telah membuat siasatan segera mengenai perkara ini dan mendapati dakwaan itu tidak benar.

Katanya, hasil siasatan mendapati, arwah adalah seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bukan lagi pelajar sekolah.

“JKN Kedah ingin merujuk kepada berita yang tular dalam media sosial, baru-baru ini, berkaitan seorang pelajar perempuan di daerah Baling yang meninggal dikaitkan dengan suntikan vaksin COVID-19.

“Siasatan mendapati dia telah menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19 pada 5 September lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Abdul Razak, Baling.

“Gadis itu mengadu sakit perut pada 19 September lalu dan telah diberi rawatan di Hospital Baling, namun selepas 20 hari divaksin iaitu pada 25 September (Sabtu) lalu, dia dibawa ke Hospital Baling kerana tidak sedarkan diri.

“Tahap kesihatannya cepat merudum dan kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Othman, berkata jenazah telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati arwah meninggal dunia disebabkan ruptured thoracic aneurysm dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin COVID-19.

“Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan dan JKN mengucapkan takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan ini,” katanya.

Beliau menasihati masyarakat umum agar elakkan mempercayai serta menyebarkan berita yang tidak disahkan dan dapatkan maklumat yang sahih berkaitan vaksin dan jangkitan COVID-19.

 

PALING POPULAR

To Top