Umum

GLC perlu dinilai semula – Muhyiddin

Kerajaan disaran untuk menilai semula peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mengoptimumkan aset-aset kerajaan demi pemulihan ekonomi negara.

Perkara ini telah dibentangkan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau  meminta GLC supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita.

‘’Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor-sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar,’’ katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan.

‘’Kerajaan perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

‘’Setakat ini 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan. Pada permulaan pelaksanaan RMK-12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang mengganggur akibat pandemik COVID-19 perlu diberikan keutamaan,’’ katanya.

Justeru, beliau menegaskan, inisiatif dan strategi yang digariskan di bawah RMK-12 perlu bersifat cakna dan prihatin kepada isu agihan supaya kekayaan, pertumbuhan serta peluang dapat merentasi semua golongan.

PALING POPULAR

To Top