Umum

Gagal berkali-kali jadi PM, PH tetap masih calonkan Anwar

Walaupun berkali-kali percubaan untuk menjadi Perdana Menteri (PM) gagal, nampaknya Pakatan Harapan (PH) masih mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon utama mereka jika memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Presiden PKR itu sebelum ini mendakwa memiliki majoriti kuat untuk menjadi PM sehingga Ahli Parlimen (MP) blok pembangkang mempercayainya, namun masih gagal untuk mencapai cita-citanya apabila dikelirukan oleh anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Umum mengetahui sebelum ini Anwar bersama anak muridnya yang juga Presiden UMNO itu berkomplot menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun tidak mendapat sokongan MP UMNO yang bertindak menyokong Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM.

Sekali lagi cita-cita Anwar menjadi PM gagal selepas dalam percubaan sebelum ini semasa Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan apabila tidak juga dipilih untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

Namun, pemimpin PH tidak belajar daripada pengalaman apabila masih berdegil untuk menamakan Anwar sebagai calon utama mereka.

Menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, ketetapan itu masih tidak berubah hingga kini dan dipersetujui semua parti-parti komponen di bawah PH.

“Setakat ini tiada apa-apa perubahan dan Anwar adalah calon PM yang ingin kita ketengahkan.

“Bagaimanapun, me­syuarat Majlis Presiden PH berhubung PRU-15 belum lagi diadakan pada masa ini,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Parti (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid juga menyifatkan Anwar adalah calon terbaik untuk me­nerajui negara jika PH memenangi PRU-15.

Malah, katanya, kemampuan pemimpin itu sudah terbukti ketika masih berkhidmat dalam kerajaan satu ketika dahulu selain turut melalui pelbagai ujian getir sepanjang penglibatan dalam politik.

“Oleh itu, beliau menjadi harapan PH dan juga majoriti rakyat sama-sama menyokong Anwar sehingga beliau diangkat sebagai PM bagi gabu­ngan ini,” katanya.

Untuk rekod, pemukiman Pimpinan PH pada April lalu memutuskan Anwar sebagai calon PM bagi gabungan itu.

Malah, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson akan mengetuai kempen PRU-15 bagi PH.

Sebelum ini semasa dua Pilihan Raya Negeri (PRN), gabungan PH yang dikepalai Anwar kalah teruk sehingga hilang banyak kerusi mereka di Melaka dan Johor.

Penolakan rakyat terhadap Anwar dan PH terserlah apabila rakyat majoriti menolak mereka yang dilihat sebagai sahabat kepada UMNO sekarang ini.

Ia susulan komplot Anwar dengan Zahid sebelum ini yang menyebabkan orang ramai melihat kedua-duanya mempunyai hubungan rapat.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top