Umum

Siti Bainun menangis lihat kelibat Bella di mahkamah

Pengasas Rumah Bonda yang dituduh mengabai dan menganiaya remaja kurang upaya (OKU) Bella, Siti Bainun Ahd Razali dilihat tidak dapat menahan sebak ketika mangsa dan lima lagi kanak-kanak jagaannya

dipanggil Mahkamah Sesyen di sini, untuk sesi pengecaman, pada Jumaat.

Mereka dipanggil pihak pendakwaan untuk melakukan pengecaman ke atas saksi-saksi.

Wanita berusia 30 tahun itu mula menangis dan kelihatan cuba mengintai anak-anak jagaannya kerana terhalang oleh tirai, yang terletak kira-kira tiga meter dari kandang tertuduh.

Seorang daripada kanak-kanak itu juga dilihat cuba memegang tangan Siti Bainun di tempat kandang tertuduh, namun terhalang oleh penghadang plastik.

Sesi pengecaman itu dilakukan tiga saksi pendakwaan iaitu Suhana Zam, 40; Zurianty Sudin, 39; dan Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang mengambil masa kira-kira 15 minit.

Para media dan orang awam yang berada di galeri awam juga tidak dibenarkan untuk melihat wajah mereka.

Terdahulu, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya bersemuka dengan enam individu terbabit untuk melihat reaksi mereka.

Beliau juga mencadangkan mahkamah supaya orang awam dan wartawan keluar ketika proses pengecaman itu dijalankan.

Namun demikian, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad membantah cadangan tersebut dan memaklumkan terdapat keperluan untuk melindungi saksi daripada terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan dengar di dalam mahkamah.

“Ini adalah perlu bagi saksi ini dicamkan dan tidak terdedah terus dalam mahkamah ini,” katanya.

Hakim Izralizam Sanusi kemudian memberitahu, dalam proses pengecaman, adalah tidak timbul isu untuk melihat reaksi kerana ia untuk tujuan sama ada orang dirujuk adalah individu yang disebut oleh saksi dalam perbicaraan.

“Tapi, sekiranya pihak pendakwaan merasakan ada keperluan untuk orang awam keluar tiada masalah,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Azizah memaklumkan tiada masalah untuk media dan orang awam berada di galeri awam kerana ia hanya proses pengecaman dan bukannya merakam keterangan.

Prosiding pada Jumaat kemudian diteruskan dengan merakam keterangan saksi pendakwaan kesembilan, Lans Koperal Azrul Abdul Shukor iaitu jurugambar daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun  mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung pukul 2.45 petang ini.

PALING POPULAR

To Top