Kawasan Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 pagi hari Selasa.
Perkara itu diumumkan oleh Air Selangor dalam kenyataan bahawa ia akan memulakan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pada 9:00 pagi, 10 Oktober 2023.
Katanya, “Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.”
Kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian ini dijangka akan siap pada jam 7:00 malam hari yang sama.
Tambahanya, “Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat setelah kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian siap.”
Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12:00 tengah hari, 12 Oktober 2023 (Khamis).
Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada system agihan bekalan air.
Sementara itu, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Justeru itu, para pelanggan yang terjejas dinasihatakan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.
Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300.