Umum

Gempa Turkiye: Mangsa kekurangan khemah, kongsi berteduh di rumah hijau

HAMPIR dua minggu gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria, Kerajaan negara itu telah mula menyalurkan bantuan yang besar kepada mereka yang teruk terjejas.

Kebanyakan penduduk kini kehilangan tempat tinggal dan masih bergelut untuk memenuhi keperluan asas.

Dianggarkan, sekurang-kurangnya 56,000 bangunan sudah tidak boleh didiami iaitu sama ada musnah atau rosak teruk akibat gempa bumi yang melanda pada 6 Februari lalu.

Bangunan itu menempatkan lebih daripada 225,000 kediaman di negara yang kebanyakan penduduknya tinggal di pangsapuri.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan angka rasmi penduduk yang dipindahkan di wilayah bencana.

Namun, angka awal menyebut, mereka merangkumi kira-kira 16 peratus daripada penduduk Turkiye.

Di perkampungan pertanian berhampiran pantai Mediterranean Hatay, Samandag dan Sutasi, penduduk yang kebanyakannya petani terpaksa tinggal di rumah hijau yang menempatkan tanaman mereka susulan kediaman yang musnah akibat gempa.

Malah, penduduk tempatan berkata kira-kira 2,000 orang kini tinggal di bawah penutup plastik tanpa kemudahan asas.

Puluhan ribu penduduk dipercayai kehilangan bukan sahaja rumah tetapi juga ternakan mereka.

Kami tidak mempunyai tempat tinggal lain. Selepas gempa bumi, kami tiada rumah tinggal. Di sini tak ada khemah,” kata Ozkan Sagaltici, berusia 50-an.

Penduduk kampung, yang kebanyakannya merupakan sebahagian daripada keluarga besar, telah memasang dapur kayu di dalam rumah hijau untuk memasak makanan yang diedarkan oleh agensi bantuan.

“Kami tidak mempunyai pakaian bersih. Kami tidak boleh membersihkan diri seperti yang kami mahu, kami tidak boleh mandi. Sangat sukar tinggal di sini. Tidak ada singki. Kami tidak mempunyai apa-apa,” kata penduduk seorang lagi penduduk, Suzan Sagaltici.

Selain ketidakselesaan, petani yang kini tinggal di rumah hijau terpaksa mengorbankan hasil tanaman yang sepatutnya dijual untuk keperluan makanan mereka sekeluarga.

Sumber: Agensi

PALING POPULAR

To Top