Umum

Warisan bincang kemungkinan kerjasama PRN Negeri bersama UMNO

Gambar Facebook

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata parti pimpinannya dan UMNO Sabah telah mengadakan perbincangan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah ke-17.

Shafie turut mengesahkan bahawa perbincangan telah diadakan antara beliau, Presiden Umno Zahid Hamidi dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin namun tiada keputusan rasmi dibuat oleh majlis tertinggi kedua-dua parti setakat ini berhubung kerjasama itu.

“Kita perlu mengakui bahawa sehingga kini, tiada keputusan telah dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno dan Warisan mengenai kerjasama ini.

“Bagaimanapun, saya telah mengadakan perbincangan bukan sahaja bersama presiden Umno tetapi juga Bung Mokhtar dengan harapan kerjasama seperti ini menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Ramadan Sabah-Labuan di Desa Tunas Hijau.

Beliau juga berkata potensi kerjasama itu bukan satu isu yang menjadi pertikaian dalam kalangan kepimpinan dan akar umbi Warisan.

“Kami optimis parti Warisan akan mengekalkan kekuatan di Sabah seperti kejayaan kami sebelum ini yang memenangi 29 kerusi dan meraih sebahagian besar undi,” katanya.

Shafie berkata parti itu juga bersikap terbuka dengan membenarkan ahlinya menghadiri acara politik Umno tanpa sebarang sekatan.

“Saya menggalakkan ahli-ahli kami untuk menghadiri acara Umno jika dijemput sepertimana kami mengalu-alukan kehadiran pemimpin Umno ke acara kami,” katanya.

“Ini hanya satu keperluan. Jika kedua-dua pihak perlu menjalin kerjasama, ia bukan satu masalah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Hajiji Noor dilaporkan tidak menolak kemungkinan PRN Sabah diawalkan walaupun tempoh tamat penggal pentadbiran kerajaan negeri sekarang adalah pada Oktober 2025.

 

 

PALING POPULAR

To Top