Umum

GPS cadangkan tambahan 4 DUN baharu di Sarawak kepada SPR

Gambar Facebook

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan pembentukan 4 kawasan DUN baharu susulan rancangan menyemak semula kawasan pilihan raya di negeri itu tahun ini.

Menurut setiausaha agungnya, Alexander Nanta Linggi, 4 DUN baharu itu akan melibatkan 3 kawasan Parlimen, iaitu Kanowit, Kapit, dan Hulu Rejang, susulan perbincangan dalam kalangan wakil rakyat GPS.

Media melaporkan beliau berkata pihaknya telah bincang beberapa kali dan sudah bersetuju dengan cadangan mewujudkan kawasan baharu DUN Sarawak nanti.

Sehubungan itu, beliau turut dilaporkan berkata cadangan tersebut telah dipanjangkan ke pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan terserah kepada SPR untuk membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu dilaporkan Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, pihaknya akan mempertimbangkan menyemak semula kawasan DUN tahun ini untuk mewujudkan kawasan demografi bercampur.

Menurutnya, kawasan DUN baharu yang dicadangkan itu perlu mempunyai beberapa parameter asas yang penting untuk memastikan perwakilan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.

Berkaitan ini, media turut melaporkan pada 1 Jan lepas, pengerusi SPR ketika itu, Abdul Ghani Salleh memaklumkan pihaknya sedang menimbang dan meneliti kesesuaian melaksanakan urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak.

Kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada pada 2016, membabitkan pertambahan 11 kerusi DUN.

Susulan itu, Sarawak menyaksikan pertambahan kepada 82 DUN, selain 31 kawasan Parlimen.

 

 

PALING POPULAR

To Top