Politik

Guan Eng minta rasuah 10 peratus – ahli perniagaan

Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Lim Guan Eng pernah meminta rasuah 10 peratus hasil daripada keuntungan yang diperolehi oleh syarikatnya berkaitan pelaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu yang dianggarkan menelan kos RM7 billion.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 62, berkata, menurut pemahaman beliau, nilai 10 peratus itu adalah rasuah yang perlu diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu selepas syarikatnya, Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) dianugerahkan projek berkenaan.

Walaupun terkejut dengan permintaan tersebut, saksi pendakwaan ke-23 itu bersetuju untuk memberikan keuntungan 10 peratus yang akan diperolehi oleh syarikatnya.

“Saya agak terkejut dan tidak menyangka perkara itu keluar daripada mulut Lim Guan Eng yang selama ini saya ingat seorang yang menentang rasuah, beliau tersenyum apabila saya bersetuju dengan permintaan itu,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri itu.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu.

Zarul Ahmad berkata, perkara itu dinyatakan oleh Guan Eng dalam kenderaan ketika beliau menghantarnya pulang ke hotel di Mid Valley di sini selepas mengadakan pertemuan di sebuah restoran masakan Itali di Jalan Ampang pada awal bulan Mac 2011.

Ujarnya, ketika itu, Guan Eng mencadangkannya mengatur perjanjian persefahaman (MoU) antara BUCG dengan Kerajaan Pulau Pinang yang akan disaksikan oleh Perdana Menteri China yang mengadakan lawatan di negara ini.

“Guan Eng beritahu, jika saya dapat melaksanakan majlis MoU itu, projek tersebut akan diberikan kepada saya secara rundingan terus (direct nego) dan saya rasa sangat teruja,” ujarnya.

Menurut ahli perniagaan itu, beliau kemudian bertemu Guan Eng pada Mei 2011 iaitu dua bulan selepas itu untuk menuntut janji namun kecewa apabila tertuduh berpaling tadah (U-turn).

Ujarnya, Guan Eng menyatakan beliau terpaksa memanggil tender terbuka untuk projek itu, bukannya melalui rundingan terus seperti yang dijanjikan pada peringkat awal.

Menurut saksi, Guan Eng bagaimanapun berjanji untuk membantunya mendapatkan projek berkenaan dan mengarahkan pegawai-pegawainya memberikan kerjasama penuh dan meminta permohonan cadangan (Request For Proposal) dipercepatkan.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah CZBUCG yang ditubuhkan untuk bekerjasama dengan BUCG dari China untuk membida projek tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Beliau bagaimanapun ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan direman bagi membantu siasatan berkaitan projek tersebut.

Dalam keterangannnya, Zarul Ahmad menyatakan, beliau diperkenalkan kepada Guan Eng oleh bekas menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sekitar Januari 2011.

Jelas beliau, dalam satu pertemuan di sebuah hotel di sini, Mohamed Nazri hadir bersama Guan Eng yang mana beliau telah menyampaikan hasrat untuk menawarkan khidmat BUCG melaksanakan projek infrastruktur di Pulau Pinang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Mac tahun depan. – K! ONLINE

PALING POPULAR

To Top