Buletin

Jentera Bersatu dikerah bantu mangsa banjir, Muhyiddin umum bantuan RM1 juta

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengerahkan semua jentera Bersatu di seluruh negara bagi membantu semua mangsa banjir yang terjejas dalam banjir besar yang melanda negara, ia selepas tiada tanda hujan akan reda dan paras air semakin meningkat.

Presiden Bersatu itu juga mengumumkan sejumlah peruntukan RM1 juta yang akan disumbangkan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan dan mengalami kerosakan harta benda.

“Sebaik sahaja selesai perhimpunan ini, saya arahkan jentera parti untuk turun ke kawasan-kawasan yang terjejss untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya juga bersetuju Bersatu melancarkan Tabung Bantuan Banjir 2021 dengan dana permulaan sebanyak RM1 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara,” katanya semasa Perhimpunan Agung Tahunan yang berlangsung di ibu kota hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berdoa semua rakya terselamat daripada musibah banjir besar yang melanda negara ketika ini.

Hujan lebat berterusan beberapa hari di Semenanjung Malaysia mengakibatkan beberapa bandar besar terjejas dan air naik melimpah.

Terdapat juga laluan jalan raya yang terputus hubungan selepas berlaku tanah runtuh.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga sudah mengerahkan semua asetnya bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

PALING POPULAR

To Top