Umum

Hamzah akan dedah surat Saifuddin minta batalkan pemilihan PKR

Ketua Pembangkang dan bekas menteri dalam negeri, Hamzah Zainudin berkata dia akan mendedahkan kepada umum surat yang didakwa dihantar oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang meminta dia membatalkan keputusan pemilihan PKR tahun lepas.

Hamzah memberitahu pemberita di Tanjong Karang malam tadi bahawa dia akan mendedahkan surat itu dalam kempen Perikatan Nasional di Kedah.

“Itu tunggu. Saya katakan bersiri.

“Saya cakap dengan orang Kedah bahawa saya akan turun kembali ke Kedah dan saya akan tunjuk apa dia bagi kat saya,” katanya.

Hamzah, yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional, bercakap kepada pemberita selepas pelancaran jentera pilihan raya PN Permatang dan Sungai Burong.

Dalam satu program di Sik, Kedah minggu lepas, Hamzah mendakwa Saifuddin memintanya membatalkan keputusanpemilihan PKR tahun lalu.

Hal itu didakwa berlaku selepas Saifuddin tewas kepada Rafizi Ramli dalam pertandingan timbalan presiden PKR.

Saifuddin, yang merupakan Menteri Dalam Negeri, menafikan dakwaan itu dan mengatakannya ia hanya sekadar “kenyataan politik” Hamzah semata-mata.

Saifuddin berkata jika dia mahu membatalkan keputusan pemilihan parti itu dia boleh melakukannya dalam dua jawapannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), apabila badan itu mengeluarkan dua surat tunjuk sebab kepada PKR.

Surat-surat itu dikeluarkan selepas ROS menerima aduan daripada ahli PKR mengenai pemilihan parti itu.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top