Umum

Jenazah Allahyarham Salahuddin Ayub selamat dikebumikan

Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Kampung Serkat, di sini, jam 11.30 pagi tadi.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, pada jam 11 pagi.

Lebih 1,000 hadirin tiba untuk memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Solat jenazah turut dilaksanakan dan diimamkan anak sulung Salahuddin, Iskandar Zulkarnain, 37, yang menjadi antara permintaan Allahyarham ketika hayatnya.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam tadi (Ahad) setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu meninggalkan isteri Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top