Umum

Hamzah dipanggil SPRM berkait kes rasuah ahli perniagaan

Ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berkait satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen hari ini.

Dalam kenyataannya malam ini, Hamzah menjelaskan keterangan itu dibuat bermula kira-kira 4.30 petang hingga 7 malam tadi, susulan pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di mahkamah hari ini

Beliau mendakwa, pertuduhan terhadap ahli perniagaan itu yang turut mengheret namanya, jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin Bersatu dan PN.

“Saya percaya, ini kerana mereka bimbang dengan kekuatan PN, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

“Saya juga faham ada pihak tertentu panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat pemimpin tertentu,” katanya.

Siang tadi, Choo Thiam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.

Ahli perniagaan berusia 63 tahun itu dituduh melakukan kesalahan itu antara Jun dan 30 Julai 2021, sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri semasa pentadbiran PN, bagi membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, agak janggal namanya disebut dalam pertuduhan itu ketika dirinya tidak pernah terbabit dalam sebarang urusan.

“Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan itu, ia menyebut suapan adalah mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan? Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya.

“Ini siri fitnah untuk menekan orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadap saya demi mencemarkan nama saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah atas perlanjutan kontrak khidmat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki untuk tempoh setahun lagi, selain percaya lanjutan ini tiada muslihat tertentu.

Simber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top