Umum

LHDN boleh bantu pewaris jika pembayar cukai meninggal

Pentadbir atau pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia masih bertanggungjawab membayar cukai pendapatan si mati kerana ia tidak boleh dihapuskan secara automatik.

Ini kerana waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati, termasuk pengurusan cukai pendapatan berdasarkan Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membantu (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Sebaliknya, beliau berkata, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan.

“Kita masih perlu cari wakil sah atau pentadbir pusaka si mati jika pembayar cukai terbabit ada meninggalkan harta, ia (tunggakan hasil) tidak boleh dibiarkan.

“Tunggakan pembayar cukai yang sudah meninggal dunia hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dibuat,” katanya kepada BH.

Mengikut Seksyen 74 ACP 1967, waris atau wasi boleh dikenakan taksiran cukai seperti taksiran dikenakan ke atas si mati, termasuk menguruskan sebarang tunggakan atau lebihan cukai si mati.

Bagi individu yang meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan diterima sehingga tarikh kematian individu terbabit dan taksiran akan dibuat atas nama waris sah.

Waris si mati yang memiliki tunggakan cukai dan gagal melunaskan jumlah berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 106 ACP 1967 yang boleh dihadapkan ke Mahkamah Sivil bagi prosiding menuntut nilai hutang kepada LHDN.

Rekod LHDN mendapati, tunggakan bagi tahun taksiran 2019 membabitkan 22,455 pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia bernilai RM182.93 juta.

Pada 2020, ia mencatatkan penurunan apabila tunggakan hasil berjumlah RM124.34 juta yang membabitkan 16,860 pembayar cukai yang meninggal dunia.

Angka itu mencatatkan penurunan pada 2021 apabila tunggakan hasil direkodkan bernilai RM22.03 juta, membabitkan 2,539 pembayar cukai yang sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, nilai tunggakan hasil kembali mencatatkan peningkatan kepada RM42.17 juta, membabitkan 3,125 pembayar cukai yang sudah meninggal dunia bagi tahun taksiran 2022.

Tanggungjawab bayar cukaiĀ 

Mengulas lanjut, Mohd Nizom berkata, tanggungjawab membayar cukai harta dan pendapatan individu adalah antara instrumen penting kepada negara dan ia menyumbang antara 20 dan 30 peratus setiap tahun daripada jumlah kutipan cukai langsung yang direkodkan LHDN.

Ini kerana cukai yang dibayar oleh rakyat akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang dibentangkan dalam belanjawan negara pada setiap tahun.

Sehubungan itu, Mohd Nizom berkata, tindakan mengesan pentadbir harta pusaka atau wakil sah yang dilantik adalah penting bagi meminimumkan ketirisan hasil negara.

Bagi menangani mereka yang culas, LHDN turut menawarkan perkhidmatan membantu wakil sah atau pentadbir pusaka yang mahu melunaskan tunggakan cukai si mati.

“Kalau pentadbir harta pusaka si mati bertanggungjawab (mahu melunaskan tunggakan cukai), kita kena ambil tindakan (membantu proses berkenaan).

“Namun, jika tiada tanggungjawab dan tiada apa-apa (pembayaran) selepas diminta, jadi kita tutuplah (hapus kira tunggakan cukai si mati).

“LHDN kemudian akan memaklumkan perkara ini kepada kerajaan, menjelaskan jumlah berkenaan perlu dibiarkan (dihapus kira) kerana (pembayar cukai) sudah meninggal dunia dan tiada harta pusaka, selain tiada bayaran dibuat selepas wakil sah dihubungi,” katanya.

Ditanya sama ada LHDN berdepan kesukaran menguruskan kes sedemikian, Mohd Nizom menjelaskan, pihaknya sentiasa menerima kerjasama baik daripada wakil sah atau pentadbir harta pusaka yang berhasrat melunaskan tunggakan cukai terbabit. “Biasanya, wakil sah akan cuba bahagikan harta pusaka, termasuk membayar hutang (tunggakan cukai pendapatan) tetapi prosesnya sahaja yang panjang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top