Umum

Hantavirus: Tiada rakyat Malaysia dalam kapal persiaran MV Hondius

Hantavirus: Tiada rakyat Malaysia dalam kapal persiaran MV Hondius

PETALING JAYA, 8 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada di atas kapal persiaran antarabangsa MV Hondius yang dikaitkan dengan wabak maut hantavirus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian sedang memantau rapat perkembangan situasi tersebut walaupun setakat ini ia tidak melibatkan rakyat negara ini.

“Walaupun situasi ini amat terkawal dan tidak melibatkan rakyat kita, KKM akan terus memantau rapi perkembangan wabak ini di peringkat global serta serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, pihak kementerian turut berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan Singapura selepas dua kru kapal yang berada di atas MV Hondius disahkan negatif virus berkenaan.

Tiga maut, lapan dipercayai dijangkiti

Dalam kejadian itu, tiga individu dilaporkan meninggal dunia melibatkan pasangan suami isteri dari Belanda serta seorang warga Jerman.

Selain itu, lapan lagi individu dipercayai dijangkiti virus tersebut.

Pihak berkuasa kesihatan antarabangsa mengenal pasti virus yang terlibat sebagai strain Andes hantavirus, iaitu strain jarang berlaku yang boleh merebak antara manusia melalui kontak rapat dan berpanjangan.

Boleh bawa maut

Dzulkefly berkata, jangkitan hantavirus tidak boleh dipandang ringan kerana komplikasinya boleh membawa maut.

Menurut beliau, sindrom paru-paru hantavirus mempunyai kadar kematian sekitar 30 hingga 40 peratus.

Setakat ini, tiada rawatan antivirus khusus untuk penyakit tersebut dan langkah pencegahan kekal sebagai perlindungan utama.

“Rakyat tidak perlu panik, namun kita mesti kekal berwaspada,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menjaga kebersihan rumah dan tempat kerja selain memastikan kawasan persekitaran bebas daripada serangan tikus dan perosak.

WHO jangka wabak terkawal

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangka wabak di atas kapal MV Hondius dapat dikawal sekiranya langkah kesihatan awam dilaksanakan dengan baik.

Kapal tersebut dilaporkan sedang belayar dari Cape Verde menuju ke Tenerife, Sepanyol ketika wabak itu dikesan.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top