KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya membenarkan penjualan dan penggunaan bunga api jenis Happy Boom serta mercun Pop-Pop sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut Selasa ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata kedua-dua jenis mercun dan bunga api berkenaan dikenal pasti selamat digunakan kerana tidak mengandungi bahan letupan yang boleh membahayakan keselamatan orang awam.
Menurut beliau, walaupun dibenarkan, penjualan mercun dan bunga api tersebut masih tertakluk kepada syarat, termasuk keperluan mendapatkan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan serta pematuhan spesifikasi yang ditetapkan.
“Sesiapa yang memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, kesalahan itu boleh disiasat di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, orang ramai turut diingatkan supaya tidak bermain mercun dan bunga api melebihi jam 12 tengah malam bagi mengelakkan gangguan serta risiko bahaya kepada masyarakat sekitar.
Individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta peruntukan lain di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
PDRM menegaskan bahawa sebarang aktiviti melibatkan mercun dan bunga api tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, termasuk ketika musim perayaan.
Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan mengelakkan kejadian tidak diingini sepanjang sambutan perayaan.
