Umum

Polis berjaya tumpas sindiket pelaburan kripto membabitkan RM50 juta, menahan 40 individu

Gambar Hiasan

Polis telah berjaya menumpaskan sindiket pelaburan mata wang kripto membabitkan kerugian lebih RM50 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tangkapan membabitkan 40 individu, 31 lelaki dan 9 wanita berusia antara 20 dan 55 tahun itu dibuat dalam operasi di seluruh negara pada 29 hingga 31 Oktober lepas.

Menurutnya, 38 daripada 40 yang ditahan, merupakan pemilik perniagaan, pengarah syarikat dan setiausaha syarikat, lagi 2 masing-masing merupakan seorang pegawai bank dan seorang ejen pencari keldai akaun.

Operasi ini dijalankan selepas polis menerima sebanyak 76 laporan daripada mangsa skim pelaburan berkenaan yang membabitkan kerugian berjumlah RM50,620,880.29.

“Mangsa yang berusia antara 22 hingga 81 tahun itu kebanyakannya terdiri daripada golongan pesara dan ahli perniagaan,” katanya pada sidang media khas hari Jumaat.

Dikatakan modus operandi sindiket berkenaan adalah menawarkan pelaburan mata wang kripto dengan keuntungan tinggi dalam masa singkat.

“Pelabur diberikan akses untuk memantau aktiviti urus niaga mata wang kripto berkenaan dalam akaun yang didaftar di bawah nama pelabur, namun wang berkenaan tidak boleh dibawa keluar,” jelasnya.

Pihak Polis turut mengesan trend baharu sindiket penipuan itu yang menggunakan syarikat dan perniagaan yang didaftarkan bertujuan untuk dijadikan keldai akaun.

“Setakat ini, kami mengesan sejumlah 63 akaun bank yang digunakan oleh sindiket ini melibatkan 51 syarikat. Kami percaya syarikat dan perniagaan ini didaftarkan semata-mata untuk pengoperasian skim penipuan ini,” katanya.

Menurut Ramli, sindiket itu akan mendekati individu yang mempunyai masalah kewangan atau individu gelandangan untuk menggunakan nama mereka bagi menubuhkan syarikat dan kemudian membuka akaun syarikat yang akan diberikan bayaran sekali atau bulanan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

PALING POPULAR

To Top