Umum

Telekung isteri sangkut di tayar dipercayai sebab suami maut dalam kemalangan

Gambar Sinar Harian / PDRM

Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dpercayai selepas telekung isteri mangsa tersangkut pada tayar dalam kejadian di Jalan Juasseh Terusan Seberang, pada hari Khamis.

Bagaimanapun, isterinya berusia 60 tahun, pembonceng semasa kejadian mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kejadian pada sekitar jam 7 malam itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang lelaki berusia 64 tahun dan dibonceng isterinya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kedua-duanya sedang bergerak dari rumah menghala ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib.

Telekung pembonceng dipercayai termasuk di bahagian tayar belakang menyebabkan motosikal tersebut hilang kawalan sebelum terjatuh.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang dan pembonceng dibawa ke Hospital Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Namun pada jam 3.53 pagi tadi pihaknya dimaklumkan oleh Unit Forensik HTAN Kuala Pilah, penunggang motosikal itu telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah.

“Pembonceng mengalami kecederaan di bahagian muka, bibir berjahit dan patah beberapa batang gigi,” katanya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

 

Sumber Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top