Buletin

Harga buah, sayuran naik di seluruh negara

Penggemar buah-buahan tempatan dan sayur-sayuran di seluruh negara mengeluh apabila harga makanan dan barangan tersebut naik mendadak sejak beberapa minggu lalu.

Antara harga buah dan sayur yang naik termasuk rambutan, mangga, cempedak, tomato, timun, salad dan halia.

Rambutan dijual pada harga antara RM10 hingga RM15 sekilogram, manakala pengguna perlu membayar RM1 untuk seulas cempedak goreng.

Harga sayur-sayuran pula me­lonjak sehingga RM2.50 menjadikan harga jualan menjadi RM5 sekilogram.

Antara alasan yang diberikan peniaga ialah kenaikan kos pengangkutan dan terpaksa mengimport buah-buahan daripada negara jiran.

Seorang peniaga buah di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Zurhafri­ Kamaruzaman, 36, berkata, harga buah-buahan ketika­ ini bergantung kepada musim dan pembekal dari Thailand.

“Sebab itu harga naik kerana kos penghantaran dari Thailand. Sekarang di luar musim cempe­dak dan rambutan.

“Saya jual rambutan antara RM8 hingga RM10 sekilogram dengan keuntungan sekitar RM300 sehari,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga pisang goreng, Siti Aishah Mahalis, 37, berkata, bekalan diperoleh dengan harga tidak menentu dari pasar Chow Kit.

“Ada yang jual cempedak mentah antara RM4.50 dan RM6.50 sekilogram. Oleh itu saya terpaksa jual RM1 seulas dan ada juga yang jual empat ulas RM5 untuk yang siap goreng,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang mendapati harga tomato, timun, salad dan halia naik kepada RM5 sekilogram dengan peningkatan sehingga RM2.50.

Seorang peniaga sayur yang mahu dikenali sebagai Nadia berkata, harga tomato dan timun sebelum ini RM3.50 sekilogram, namun naik kepada RM5 kerana kenaikan kos pengangkutan.

“Bekalan diperoleh dari Pasar Besar Selayang, Selangor. Selain itu, harga salad dan halia juga me­lonjak kerana diimport,” kata­nya.

Namun harga untuk lobak merah, kangkung masih kekal antara RM2 dan RM3 sekilogram manakala sawi RM6.

Di Shah Alam, Selangor, tinjauan di Pasar Moden Seksyen 6 mendapati, kobis bunga, salad dan daun bawang naik antara RM1 hingga RM2 sekilogram.

Rata-rata peniaga memberi­tahu, kenaikan berlaku di pe­ringkat pemborong dengan alasan bekalan dari Cameron Highlands berkurangan ekoran musim hujan dan sayur tidak dapat dikutip.

Pemborong turut memberi alasan kenderaan mengangkut tidak mencukupi untuk membawa sayur dan peniaga perlu mengeluarkan belanja untuk menyewa kenderaan.

Di pasar itu, sawi dijual RM10 seki­logram berbanding RM8 sebelum ini.

Di George Town, tinjauan di pasar awam di daerah Barat Daya dan Timur Laut mendapati, hampir 70 peratus peniaga mengekalkan harga sayur kecuali tomato yang naik RM1 menjadi RM5 sekilogram.

Peniaga sayur, Rahimah Ali, 46, berkata, memang ada berlaku kenaikan harga sawi, pak choi dan daun bawang pada April lalu.

“Harga sayur masih kekal tetapi bekalan kurang kerana pembekal tidak dapat merentas negeri,” katanya.

PALING POPULAR

To Top