Buletin

Syed Mokhtar kekal dalam senarai individu terkaya Malaysia

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kekal menjadi Bumiputera terkaya di Malaysia apabila disenaraikan pada kedudukan ke-18 dengan kekayaan AS$1.2 bilion (RM4.94 bilion)

Ia berdasarkan Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2021.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Forbes berkata, senarai itu menyaksikan peningkatan bagi kekayaan kolektif semua hartawan yang menokok 14 peratus kepada hampir AS$90 bilion (RM371 bilion) tahun ini, selepas mencatatkan penyusutan selama dua tahun.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Forbes berkata, Tan Sri Robert Kuok yang menerajui empayar hartanah dan komoditi, terus mengungguli senarai itu dengan kekayaan sebanyak AS$12.2 bilion (RM50.3 bilion).

Ia sekali gus menjadikannya individu tertua dalam senarai itu pada usia 97 tahun.

Di kedudukan kedua ialah Tan Sri Quek Leng Chan, generasi kedua yang menerajui kumpulan Hong Leong dengan nilai kekayaan AS$9.6 bilion (RM39.6 bilion).

Forbes berkata ekonomi Malaysia yang dilanda pandemik dengan penguncupan 5.6 peratus pada 2020, dijangka kembali ke landasan pada tahun ini.

“Namun, pada masa ini, negara itu sedang bergelut dengan lonjakan kes Covid-19.

“Walaupun indeks saham petunjuk pasaran meningkat sederhana pada 2.5 peratus sejak kekayaan itu diukur kali terakhir pada 15 bulan lepas, 50 individu terkaya negara itu menyaksikan gabungan peningkatan kekayaan sehingga hampir AS$90 bilion (RM371 bilion), menokok daripada AS$79 bilion (RM325 bilion) pada tahun lepas,” katanya.

Forbes berkata keadaan itu, antara lain disumbangkan oleh kedudukan dominan negara itu sebagai pembuat sarung tangan perubatan dunia.

Semasa tahun pandemik, permintaan global terhadap alatan perlindungan sedemikian mencatatkan kenaikan ketara, eksport sarung tangan getah Malaysia pula adalah dua kali ganda, sekali gus meningkatkan kekayaan pengeluar terbesar dunia, katanya.

Lima daripada mereka tersenarai dalam kalangan 50 paling kaya, dengan dua daripadanya iaitu Kuan Kam Hon (Nombor 7, AS$3.8 bilion atau RM15.66 bilion) dari Hartalega Holdings dan Lim Wee Chai (Nombor 8, AS$3.5 bilion atau RM14.43 bilion) dari Top Glove, berada pada kedudukan 10 terbaik.

Forbes berkata, terdapat lima pendatang baharu dalam senarai tahun ini.

Antara yang tersenarai adalah Tan Yu Yeh dan Yu Wei dari Mr DIY Group selaku pendatang baharu paling kaya pada kedudukan ke-10 dengan kekayaan AS$2.7 bilion (RM11.13 bilion).

Bagaimanapun, pandemik menjejaskan 19 senarai apabila kekayaan mereka merosot.

Antara yang paling terkesan, hartawan kasino Chen Lip Keong (Nombor 9, AS$3.4 bilion atau RM14 bilion) dan Lim Kok Thay (Nombor 11, AS$2.55 bilion atau RM10.51 bilion).

Tujuh daripada yang disenaraikan pada tahun lepas, tidak lagi tersenarai iaitu Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun dari AirAsia, berikutan pandemik yang berlanjutan ini menyuramkan harapan untuk sektor perjalanan kembali pulih.

Nilai bersih minimum untuk disenaraikan pada tahun ini adalah AS$315 juta (RM1.298 bilion, meningkat daripada AS$255 juta (RM1.051 bilion) tahun lalu.

Senarai lengkap ini boleh diperolehi di www.forbes.com/malaysia dan edisi terkini Forbes Asia.

PALING POPULAR

To Top