Umum

Hasil tambahan cukai perkhidmatan, Kerajaan dijangka memperoleh RM3.45 bilion

Gambar Hiasan

Kementerian Kewangan menjangka kerajaan akan memperoleh tambahan hasil berjumlah RM3.45 bilion daripada peluasan skop cukai perkhidmatan dan peningkatan kadar daripada 6% kepada 8%.

Kementerian tersebut menyatakan demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, bagi menjawab soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan mengenai pertambahan pendapatan negara daripada kenaikan kadar cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Mac, 2024 itu.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan turut memaklumkan hasil kerajaan Persekutuan pada 2024 diunjur meningkat kepada RM312.159 bilion selepas mengambil kira langkah cukai Belanjawan 2024, disumbangkan oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil kerajaan persekutuan iaitu 79.5% daripada jumlah hasil, bersamaan dengan 12.57% daripada kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Selain itu jumlah tersebut turut meliputi hasil bukan cukai mewakili 20.5% iaitu bersamaan dengan 3.24% daripada KDNK.

“Kerajaan menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 untuk mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara, meningkatkan langkah mobilisasi hasil, meluaskan asas hasil cukai, menambah baik dan menyemak semula struktur dan perundangan cukai, serta pemberian insentif percukaian.

“Langkah ini akan direalisasikan melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana bagi memastikan perancangan cukai jangka sederhana adalah lebih teratur dan sepadan dengan perbelanjaan,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai strategi yang diambil kerajaan bagi memastikan berlaku peningkatan kadar kutipan hasil cukai kerajaan melebihi kadar 12 peratus daripada KDNK agar lebih banyak program pemulihan ekonomi dapat dirancakkan.

 

 

PALING POPULAR

To Top