Umum

HFMD tunjuk trend peningkatan – Dr Noor Azmi

Sebanyak 71,471 kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) direkodkan pada minggu epidemiologi (ME) 22/2022 (30 Mei) seluruh negara, berbanding 2,485 kes direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas, peningkatan 28 kali ganda.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata daripada jumlah itu 65,032 kes iaitu 91 peratus dilaporkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah manakala 5,194 kes (tujuh peratus) dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program townhall meeting (THM) HFMD di Perpustakaan Tun Raja Uda, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Katanya kes HFMD di Selangor juga menunjukkan trend peningkatan yang sama dengan trend kebangsaan kerana hampir 30 peratus kes HFMD negara dilaporkan berlaku di negeri itu sehingga 30 Mei.

“Daerah Petaling di Selangor merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 3.8 peratus (7,247 kes) dari 20,433 keseluruhan kes HFMD Selangor. Bilangan kes HFMD dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun telah meningkat semenjak awal tahun 2022,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata berdasarkan data terkini KKM, 691 premis tadika, taska, prasekolah diarah tutup dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) manakala 146 premis ditutup secara sukarela; dan di Selangor pula 216 premis ditutup di bawah Akta 342, manakala 21 premis ditutup secara sukarela.

Sementara itu mengulas laporan mengenai harga vaksin yang dikatakan mencecah ratusan ringgit bagi dua suntikan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids), Dr Noor Azmi berkata jumlah harga yang berbeza itu bergantung kepada perkhidmatan dan konsultasi yang diterima oleh mereka yang mengambil vaksin.

“Kita ada harga siling (untuk vaksin COVID-19) tetapi harga yang akan dikenakan oleh pihak swasta sama ada GP (pengamal perubatan am swasta) ataupun hospital bergantung kepada konsultasi yang berbeza dan ‘consumable’ seperti pengunaan jarum dan ubat yang diberikan. Itu berbeza mengikut fasiliti,” katanya.

Program THM HFMD merupakan satu usaha proaktif yang menggabungkan beberapa aktiviti pendidikan kesihatan seperti ceramah, edaran bahan pendidikan kesihatan, tunjuk cara penjagaan kebersihan diri dan basmi kuman premis kepada peserta, agar tindakan dapat diambil apabila pulang ke taska masing-masing nanti.

Program itu akan diteruskan perlaksanaannya di seluruh negara terutama di negeri yang mengalami peningkatan kes HFMD yang tinggi dengan sejumlah 187 sesi THM telah diadakan di seluruh Malaysia sehingga Mei lepas.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top