Umum

Kestabilan negara terjejas sejak BN kecundang pada PRU14 – Ahmad Zahid

Soal kestabilan negara mula kelihatan berantakan sejak Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, malangnya ramai yang termakan dengan formula ‘Malaysia Baharu’ yang hakikatnya ternyata gagal.

“Formula Malaysia Baharu yang kononnya mahu diterjemahkan melalui tadbir urus yang baik dan sifat ketelusan hanyalah indah khabar dari rupa.

“Kuasa yang dimandatkan rakyat dieksploitasi sepenuhnya untuk membunuh seteru politik, bahkan cubaan memadamkan segala legasinya termasuklah memanipulasikan institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang.

“Malah tergamak memandulkan institusi parlimen untuk kekal berkuasa. Tiadanya kesetiaan kepada apa yang disepakati oleh para pembina negara dahulu, mengakibatkan kesusilaan semakin pudar.

Tegas Zahid, apa yang perlu menjadi fokus BN ketika ini adalah untuk mengembalikan ‘Malaysia Asal’ yang sebelum ini diterajui oleh parti itu dan bukannya janji-janji retorik semata-mata,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) pada Rabu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam masa sama menyedari, BN perlu memperbaiki segala kelemahan dan keterlanjuran yang dilakukan pada masa lalu.

Ini termasuklah menerapkan beberapa ciri utama pentadbiran antaranya agenda pembaharuan institusi berpandukan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan pembasmian segala bentuk penyimpangan dan rasuah.

PALING POPULAR

To Top