Umum

Hidang kopi dengan bara arang kesalahan boleh didenda RM10,000, dipenjara

Gambar Hiasan

Trend kini meletakkan bara arang dalam minuman kopi yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh didakwa, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM memaklumkan mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Menurut KKM, Kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan. Arang tidak dikategorikan sebagai makanan.

Mengulas lanjut, KKM berkata arang panas (bara arang) yang dimasukkan secara terus ke dalam minuman kopi adalah berbeza dengan arang diaktifkan, yang lazimnya digunakan dalam industri makanan kerana ia sudah diproses dan ditulenkan, sekali gus selamat untuk digunakan dalam makanan dan minuman.

Dipercayai KKM mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran trend meminum kopi yang dimasukkan dengan bara arang di sebuah kedai makan di sini menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.

Turut tular bersama trend itu adalah dakwaan bahawa kopi yang dimasukkan dengan bara arang atau dipanggil “Kopi Joss” di Indonesia itu mempunyai keunikan rasa tersendiri dan dikatakan berupaya menyingkirkan toksin dari dalam badan.

Pakar kesihatan turut mengulas trend tersebut atas kebimbangan terhadap tindakan meminum minuman berkenaan kerana boleh mengundang kesan buruk seperti kanser berikutan sifatnya yang karsinogenik serta kemungkinan usus tersumbat jika diambil secara kerap untuk tempoh masa yang lama.

KKM juga menyeru orang ramai yang ingin membuat aduan ke atas mana-mana premis makanan yang disyaki tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, supaya berbuat demikian di Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau menghubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

PALING POPULAR

To Top