Umum

Ibu didakwa amang seksual terhadap dua anak lelaki

Seorang ibu kepada lima anak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak lelakinya dan mengarahkan suatu pornografi dalam bentuk video, tahun lalu.

Wanita yang tidak bekerja berusia 33 tahun itu, membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Mengikut tiga pertuduhan, dia yang memakai blaus kuning gelap, didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu ibu kandung, telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki (ketika kejadian) berusia 14 dan 12 tahun, bagi tujuan seksual.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Alam Perdana, Puncak Alam di sini pada jam 8 malam, November 2022 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa telah mengarahkan pembuatan suatu pornografi kanak-kanak dalam bentuk video di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh pada jam 2 pagi, 17 dan 18 Februari tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati Mohamad dan Nur ‘Ayuni Jamri tidak mencadangkan sebarang ikat jamin dengan alasan, tertuduh berisiko untuk mengganggu mangsa memandangkan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan.

Bagaimanapun, dia merayu agar diberikan ikat jamin kerana perlu menyara lima anaknya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syafeera tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Selepas prosiding, wanita itu tidak dapat menahan air mata, setelah melihat ibu bapanya yang berada di galeri awam.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Haddad Mohd Radhi, 22, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama, atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tertuduh wanita itu, yang berumur 14 tahun (ketika kejadian), tujuan seksual.

Kesalahan didakwa dilakukan di hotel yang sama dan tarikh serupa dan dituduh mengikut Seksyen 14(a) akta sama.

Semasa prosiding, Nurul ‘Izzati tidak mencadangkan tertuduh diberikan ikat jamin memandangkan pertuduhan itu termasuk dalam kes yang serius.

“Tertuduh merupakan rakan tertuduh wanita itu, maka dibimbangi akan memberi akses terhadap mangsa, yang kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh lelaki itu yang diwakili peguam, Mohd Azali Ibrahim merayu agar anak guamnya dibenarkan untuk diikat jamin kerana dia perlu menyara isteri dan seorang anak.

“Dia bekerja sebagai penarik kereta, menjaga isterinya merupakan seorang suri rumah dan kini mengandungkan anak kedua mereka,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syafeera membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 4 Mei lepas, media melaporkan seorang ibu direman bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.

Sementara itu, seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat merakam adegan amang seksual fizikal membabitkan dua beranak itu.

Lelaki yang bekerja sendiri, berumur 25 tahun itu dilaporkan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pemerasan dan rogol.

Lelaki berkenaan juga diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual anak perempuan kepada wanita terbabit yang berusia 15 tahun.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top