Buletin

Ismail Sabri akan merasmikan HAWANA 2022 pada Ahad

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan menyertai lebih 700 pengamal media pada sambutan Hari Wartawan Nasional 2022 (HAWANA 2022) di Melaka pada Ahad ini (29 Mei).

Jawatankuasa Publisiti dan Promosi HAWANA 2022 dalam satu kenyataan hari ini berkata, Ismail Sabri dijadual menyampaikan ucapan perasmiannya pada 2.30 petang pada majlis itu yang akan turut dihadiri wartawan dari beberapa negara ASEAN.

Menurut kenyataan itu, antara acara kemuncak sambutan tahun ini ialah Deklarasi Melaka yang menggariskan hala tuju industri kewartawanan dan media negara.

Ia disambut bagi meraikan wartawan profesional, individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam kewartawanan tetapi juga dalam membentuk minda rakyat melalui karya mereka.

Mereka juga akan diberikan penghormatan pada majlis anugerah HAWANA 2022.

Tambahan, dalam acara ini forum media akan diadakan pada sebelah pagi sebagai platform untuk ketua pengarang, editor dan personaliti media membincangkan masa depan industri media, terutama dalam menghadapi kemajuan teknologi dan persekitaran yang semakin mencabar.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

HAWANA yang disambut setiap tahun, pada 29 Mei ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan kepada pengamal media untuk menghargai sumbangan mereka dalam membantu pembangunan negara dan mengukuhkan perpaduan.

Bertemakan ‘Suara Rakyat, Aspirasi Negara’, HAWANA 2022 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan dilaksanakan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan kerjasama pertubuhan media dan kerajaan negeri Melaka.

PALING POPULAR

To Top