Umum

Ismail Sabri tarik balik saman terhadap portal Agenda Daily

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menarik balik saman yang difailkan pada 2022 terhadap pemilik portal berita, Agenda Daily Media Enterprise, Muhamad Izwan Mohd Zubit.

Beliau menyatakan tidak mahu merugikan masa mahkamah memandangkan tidak lagi menjadi perdana menteri, merujuk artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’.

Beliau membuat keputusan menarik balik kes itu kerana isu ditimbulkan adalah mengenai perdana menteri dan juga mengenai pilihan raya.

“Pilihan raya sudah selesai, saya pun tak jadi perdana menteri, jadi isu kalau teruskan juga saya kira akan merugikan masa mahkamah sebab semua keputusan sudah jadi akademik,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, mahkamah menetapkan hari pertama perbicaraan kes, namun Hakim Mahkamah Tinggi Aliza Sulaiman ketika prosiding berkata, plaintif (Ismail) bersetuju menarik balik kes tanpa kos dan tanpa kebebasan memfailkan semula.

“Saya minta kedua-dua pihak berdiri. Seperti dibincangkan dalam kamar tadi, Datuk Seri (Ismail) bersetuju untuk menarik balik saman dan pihak defendan juga sudah bersetuju.

“Kes dibatalkan tanpa kos dan tanpa pembebasan untuk difailkan semula,” katanya.

Peguam Asiah Jalil yang mewakili Izwan memberitahu mahkamah, anak guamnya mengesahkan perkara itu.

Selepas prosiding selesai, Ismail dan Izwan dilihat bersalaman bersama peguam masing-masing dan berbual mesra sebelum meninggalkan mahkamah.

Pada Februari 2022, Ismail memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan portal Agenda Daily memadamkan artikel didakwa memfitnahnya.

Melalui perintah injunksi sebelah pihak (ex-parte) itu, beliau yang juga perdana menteri ketika itu berjaya mendapatkan perintah supaya pemilik portal Agenda Daily memadamkan artikel berkenaan.

Dalam penyataan tuntutan, Ismail berkata, artikel itu jika dibaca secara keseluruhannya, mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat dan fitnah berhubung dirinya.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top