Umum

Ismail Sabri tak pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

Selepas berakhir tempoh menghantar borang pencalonan pemilihan UMNO pada Ahad, lapan calon mengesahkan bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden parti itu.

Bagaimanapun daripada lapan calon yang menghantar borang, seorang calon menarik diri dan kini tinggal hanya tujuh calon sementara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menghantar borang pencalonan untuk mempertahankan jawatannya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula mengesahkan menarik diri daripada pertandingan jawatan Naib Presiden selepas menghantar borang.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Datuk Mustapha Yaakub ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan, tiada pencalonan baru bagi jawatan itu diterima sehingga tempoh mengemukan pencalonan berakhir jam 5 semalam.

“Setakat ini lapan calon sehingga ditutup tadi. Esok pengerusi (Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad) akan umumkan senarai yang penuh dan rasmi.

“Ini termasuk jawatan tertinggi lain dan jumlah keseluruhan pencalonan yang diterima untuk pemilihan kali ini,” katanya dipetik laporan BH.

Lapan pemimpin itu termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu jurucakap parti itu yang dihubungi pula memaklumkan, lebih 90 calon mengesahkan bertanding jawatan Ahli MajlisTertinggi (MT) UMNO bagi pemilihan kali ini.

Mereka akan bersaing bagi merebut 25 jawatan yang akan diisi, sementara bagi sayap wanita, membabitkan saingan dua penjuru antara Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta bekas ketua sayap itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO pula, ia masing-masing membabitkan saingan lima dan enam calon.

PALING POPULAR

To Top