Umum

JAIPk sahkan restoran tular di Teluk Intan tiada sijil halal

Gambar Hiasan

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengesahkan Restoran Hawayi di Teluk Intan tidak mempunyai sijil halal.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim yang turut berkata hasil semakan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIPk mendapati restoran terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Menurut beliau, JAIPk tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan sepanjang operasinya dan perkara itu perlu diambil berat oleh masyarakat Islam.

“Saya menasihati seluruh masyarakat Islam agar berhati-hati apabila kita ke restoran dan tempat makan. Sebagai orang Islam kita digalakkan tengok ada logo halal atau tidak,” katanya dilaporkan oleh Awani.

Terdahulu, tular di media sosial isu status halal restoran terbabit yang memperlihatkan perbincangan hangat sehingga mencetus persoalan dan kebimbangan pengguna Muslim lain.

Sehubungan itu, Harith Fadzilah menasihati orang ramai khususnya masyarakat Muslim agar tidak cepat terpengaruh dengan kehadiran ramai orang Islam ke kedai berkenaan.

“Orang Islam wajib memastikan semua makanan dan minuman bersih, suci dan halal kerana ia menjadi darah daging kita. Paling penting pastikan setiap restoran atau tempat makan itu mempunyai SPHM kerana tanda halal itu adalah jika operasi dan bahan makanan di sesebuah premis itu menepati syarat,” katanya.

Beliau berkata sebagai pengguna, mereka boleh membuat semakan melalui aplikasi telefon pintar dan sikap berhati-hati dalam memilih premis makanan amat wajar dilakukan kerana masyarakat Islam perlu berhati-hati dalam hal ehwal berkaitan makan serta minum selain berdasarkan hukum syarak.

“Itu sebab kita galakkan kepada mana-mana pemilik restoran dan individu untuk memohon sijil halal kerana ia lebih meyakinkan masyarakat,” katanya.

PALING POPULAR

To Top